Hulu Selangor Panas

Lokasi Hulu Selangor
  • BN calon Kamalanathan
  • PKR pertaruh Zaid
  • 2 tawar tanding BebasBUKIT BERUNTUNG: Bahang pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor 25 April ini bertambah hangat sehari menjelang penamaan calon, esok, yang dijangka menyaksikan pertandingan sekurang-kurangnya empat penjuru.Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan Ketua Penerangan MIC Pusat, P Kamalanathan, untuk merampas semula kerusi itu, manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencalonkan, Datuk Zaid Ibrahim.
    Setakat ini, seorang ahli perniagaan, Johan Mohd Diah dan bekas Timbalan Pengerusi MIC Bahagian Hulu Selangor, V S Chandran, turut menawarkan diri untuk bertanding sebagai calon Bebas.

    Pilihan raya kecil kawasan itu diadakan selepas kerusi berkenaan kosong apabila penyandangnya, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad dari PKR meninggal dunia pada 25 Mac lalu akibat barah otak.

    Sehingga petang kelmarin, 14 borang pencalonan sudah diedar dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) percaya ada calon Bebas akan turut bertanding pada pilihan raya itu.

    Sementara itu, Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Kamalanathan, 44, dipilih hasil perbincangan dan persetujuan semua pihak, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu. “Masa yang agak lama diambil untuk membuat keputusan berkaitan calon kerana pelbagai pihak ada pandangan masing-masing, tetapi akhirnya kita mencapai kata sepakat dan mengutamakan apa yang dimahukan rakyat.

    “Kita dapat maklum balas pengundi dan mendalami isi hati mereka yang mahukan calon baru,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan calon BN di Markas BN di Bukit Sentosa di sini, petang semalam.

    Turut hadir, Pengarah Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor, Datuk Seri Noh Omar, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor serta pemimpin BN termasuk parti komponen di Sabah dan Sarawak.

    Ditanya sama ada Kamalanathan tersenarai untuk dipertimbangkan sebagai calon, Timbalan Perdana Menteri, berkata: “Memang ada dalam senarai tetapi tidak menonjol di peringkat awal.”

    Bagaimanapun, beliau berkata, selepas dipertimbangkan, pada saat-saat akhir kepemimpinan BN mendapati Kamalanathan adalah calon yang terbaik untuk mewakili parti pada pilihan raya kecil itu.

    Mengenai ketidakhadiran Datuk G Palanivel yang sebelum ini disebut-sebut sebagai calon pilihan MIC, Muhyiddin percaya sebagai Timbalan Presiden MIC, Palanivel tentu lebih faham tugas dan tanggungjawabnya terhadap parti.

    “Mungkin dia ada tugas lain atau sedikit kecewa, itu perkara biasa,” katanya.

    Mengenai calon PKR, Timbalan Perdana Menteri berkata, Zaid bukannya calon ‘heavy weight’ seperti jolokan yang diberikan terhadapnya.

    “Biar pengundi yang menilai siapa Zaid sebenarnya,” katanya.

    Terdahulu, dalam ucapannya, Muhyiddin berkata, Perdana Menteri menghubungi beliau dari Washington untuk berbincang dan memberi kata putus berhubung pemilihan calon BN.

    ‚ÄúPerdana Menteri menyampaikan pesan bahawa pentingnya pilihan raya kecil ini untuk BN dan kita mahu melihat kepemimpinan parti seluruh negara berkampung dan memberi tumpuan serta bekerja keras bagi menentukan kejayaan BN di Hulu Selangor,” katanya.

    Malah, beliau berkata, Perdana Menteri memaklumkan cabaran yang akan dihadapi itu bukan soal individu, tetapi soal parti dan keutamaan tetap diberikan kepada rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

    Muhyiddin juga mengucapkan terima kasih kepada Palanivel atas jasa beliau kepada penduduk Hulu Selangor sepanjang empat penggal sebagai Ahli Parlimen kawasan berkenaan.

    Beliau turut meminta Timbalan Ketua Pemuda MIC yang juga Ketua Pemuda MIC Bahagian Hulu Selangor, V Mugilan, yang juga disebut antara calon yang disenaraikan supaya tidak berputus asa.

    “Kedua-dua Palanivel dan Mugilan diharap dapat membantu calon yang dipilih untuk memastikan kemenangan berpihak kepada BN, mungkin kali ini bukan rezeki anda berdua untuk menjadi calon mewakili BN,” katanya.

    Beliau berkata, tekad dan azam BN adalah jelas, iaitu untuk menebus kekalahan dan memastikan kemenangan memihak kepada BN dengan majoriti undi yang banyak.

    Muhyiddin berkata, pengalaman dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Kecil Bagan Pinang Oktober lalu seharusnya dijadikan panduan untuk mengukir kejayaan sama di Hulu Selangor hasil kerjasama semua jentera pilihan raya parti.