Sosilawati, Bekas Isteri Nash Hilang

Datuk sosilawati hilangKUALA LUMPUR: Jutawan kosmetik yang juga bekas isteri penyanyi Nash, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dilaporkan hilang sejak seminggu lalu bersama tiga individu lain dipercayai peguam dan pemandunya serta seorang pegawai bank.

Kehilangan Sosilawati menimbulkan misteri kerana sehingga malam tadi polis masih belum dapat mengenal pasti motifnya, malah ahli keluarganya juga tidak menerima sebarang panggilan menuntut wang tebusan.

Menurut sumber, pengasas empayar produk kecantikan Novelle Visages itu dikatakan keluar dari banglo mewahnya di Taman Harmonis, Gombak di sini pada 30 Ogos lalu untuk meninjau projek terbarunya di Banting dan sepatutnya pulang tiga hari selepas itu.

Sooselawati dikatakan memberitahu anak-anaknya yang beliau akan ke Banting selama tiga hari untuk perbincangan perniagaan.

Bagaimanapun, selepas tiga hari tidak pulang ke rumah dan usaha menghubungi telefon bimbitnya juga gagal, anak-anaknya membuat dua laporan polis memaklumkan kehilangan ahli perniagaan itu, katanya.

Difahamkan, selain pemandunya, Sooselawati turut ditemani dua lagi individu. Ketiga-tiga individu itu juga tidak dapat dikesan sehingga malam tadi.

Berdasarkan maklumat diterima, tiga individu yang bersama Sooselawati ialah peguam dan pemandunya serta seorang pegawai bank yang mengikuti ahli perniagaan itu untuk meninjau projek terbarunya di Banting, katanya.
Kali terakhir Sooselawati dilihat di khalayak ramai ialah pada 28 Ogos lalu ketika menghadiri majlis berbuka puasa Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor (DPMMS) di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Dua hari sebelum itu, Sooselawati menghadiri perbicaraan kes tuntutan harta bernilai RM1.38 juta terhadap bekas suaminya, Nash atau Nasharuddin Elias.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah mengesahkan pihaknya menerima dua laporan dibuat ahli keluarga jutawan berkenaan berhubung misteri kehilangannya.

Pengadu (anak Sooselawati) memberitahu ibunya tidak pulang pada tarikh sepatutnya, selain mereka gagal mengesan dan menghubunginya.

Sama ada kehilangannya mempunyai unsur jenayah atau tidak, itu semua sedang disiasat. Setakat ini, kejadian diklasifikasikan sebagai kes orang hilang kerana keluarganya belum menerima apa-apa panggilan menuntut wang tebusan, katanya.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi balai polis berhampiran atau Rakan Cop melalui talian 03-2115 9999 bagi membantu menyelesaikan kes berkenaan.

sumber bh 6 sep 2010