148,500 Peluang Belajar Lepasan SPM 2011

Mulai tahun 2011, lebih ramai lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berpeluang menyambung pengajian di peringkat diploma dan sijil apabila kerajaan menawarkan lebih 148,500 tempat di institusi-institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia melibatkan sejumlah 14,000 tempat bagi pengambilan kursus asasi dan 34,000 tempat untuk diploma di IPTA.

Tempat belajar lepasan spm 2011

  1. 51,000 tempat ditawarkan untuk diploma di politeknik
  2. 11,000 tempat bagi peringkat sijil di kolej-kolej komuniti
  3. 38,500 tempat untuk sijil di Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA).
  4. 14,000 tempat bagi pengambilan kursus asasi dan
  5. 34,000 tempat untuk diploma di IPTA.

Beliau menjelaskan, peluang julung kali itu ditawarkan sempena Karnival Pengajian Tinggi Negara 2011 ‘Jom Masuk U’ yang membawa pendekatan 1Malaysia: Pendidikan Untuk Semua, yang bermula di sini hari ini.

“Penganjuran karnival kali ini akan membantu memastikan semua pelajar lepasan SPM dan setaraf dengannya memperoleh pendidikan lanjutan termasuk bidang kemahiran dan teknikal.

“Peluang ini juga untuk pelajar yang kurang cemerlang dalam SPM,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran karnival tersebut yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di sini.

Mohamed Khaled berkata, jumlah tempat yang ditawarkan itu merupakan sebahagian daripada 469,500 tempat yang disediakan untuk lepasan SPM atau setaraf selain di IPTS.

Lain lain peluang:

“Ia juga memberi peluang pendidikan lanjutan lain seperti tingkatan enam, matrikulasi, program ijazah sarjana muda pendidikan dan program persediaan ke luar negara secara tajaan,” ujarnya.

Beliau berkata, kementeriannya juga merancang mengarusperdanakan program pengajian diploma di IPTA bagi memperkasakannya sebagai salah satu pilihan pelajar lepasan SPM.